NASIONAL

MOA komited laksana cadangan akta bendung pembaziran makanan

2 Dis 2018, 9:03 AM
MOA komited laksana cadangan akta bendung pembaziran makanan

SERDANG, 2 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) komited untuk meneliti kajian mengenai cadangan bagi mewujudkan satu akta untuk membendung pembaziran dan mengurangkan kadar sisa makanan di negara ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata kajian itu bakal melibatkan perbincangan dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, makanan banyak terbuang berlaku terutamanya menjelang musim perayaan.

“Saya sedar daripada pengalaman kita terutama pada bulan Ramadan… hotel atau resort yang buat jamuan atau bufet kebanyakannya membuang makanan dengan begitu banyak.

“Jadi saya melihat perkara ini dengan sangat serius,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penutup pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan akta itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada majlis penutup MAHA 2018 hari ini.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata sepanjang berlangsungnya MAHA 2018, sebanyak 26 Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bernilai RM2.8 bilion berjaya ditandatangani antara pedagang tempatan dan antarabangsa dari 22 Nov lepas sehingga hari ini.

“Lebih membanggakan lagi, kita berjaya mencipta sebanyak 2,083 potensi perniagaan melalui program padanan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, ekspo pertanian terbesar Malaysia itu menerima seramai 3.2 juta pengunjung setakat ​​​​​​​pagi ini dan beliau yakin ia akan terus meningkat sehingga mencapai sasarannya iaitu 3.5 juta.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619