SELANGOR

Belanjawan'19: Litar lumba bakal dibina di Sungai Tua

23 Nov 2018, 10:28 AM
Belanjawan'19: Litar lumba bakal dibina di Sungai Tua

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan sebuah litar lumba di kawasan Sungai Tua, Gombak bagi merancakkan lagi bidang sukan permotoran di Selangor.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tanah seluas 20 ekar akan diperuntukkan dan litar lumba ini akan dibina dengan kaedah 'Public Private Partnership' bagi menggalakkan pembangunan sukan permotoran serta penganjuran acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

"Pembinaan akan dibincangkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan yang besar diadakan di litar ini.

"Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba," katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya projek menaiktaraf kemudahan sukan di PBT juga diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.24 juta.

Menurutnya, kemudahan-kemudahan ini disediakan kepada atlet untuk membuat latihan di samping sebagai satu tempat penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

"Dalam usaha untuk memartabatkan dan mengekalkan kejuaraan dalam sukan, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah merangka Pelan Pembangunan Sukan Negeri Selangor berdasarkan konsep 2i yang berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru dari akar umbi secara menyeluruh dan melibatkan keseluruhan pemegang taruh ke arah satu objektif iaitu ‘Selangor Peneraju Kecemerlangan Sukan’.

"Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun 2019 untuk membaikpulih Lampu Limpah Padang Sintetik Akademi Bola Sepak Merah Kuning," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619