SELANGOR

Polis siasat dalang panggilan ancaman bom Mahkamah Tinggi Shah Alam

20 Nov 2018, 8:12 AM
Polis siasat dalang panggilan ancaman bom Mahkamah Tinggi Shah Alam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 NOV: Polis meneruskan siasatan bagi mengesan dalang disebalik panggilan ancaman bom yang diterima Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit dan akan meneruskan siasatan.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengesan siapa individu terbabit," katanya kepada SelangorKini.

Semalam, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan mahkamah terbabit sekitar jam 9.40 pagi bagi melaporkan ancaman bom itu.

Pihak Polis segera ke lokasi dan mengarahkan bangunan itu perlu dikosongkan.

Manakala, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 dikejarkan ke lokasi.

Polis juga mengarahkan semua kakitangan mahkamah dan orang ramai yang berada di dalam mengosongkan bangunan tersebut.

Unit Pemusnah Bom bersama Unit Pengesan Anjing (K9) membuat pemeriksaan di kawasan bangunan ruang legar mahkamah, namun tidak menemui sebarang objek berupa bom atau ancaman.

Difahamkan, semua kakitangan mahkamah dibenarkan masuk kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Berdasarkan kenyataan, kes terbabit termasuk dalam ugutan jenayah dan diklasifikasi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619