NASIONAL

Azmin: Saya ‘Cool’...

18 Nov 2018, 5:55 AM
Azmin: Saya ‘Cool’...
Azmin: Saya ‘Cool’...

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak ahli parti bersalaman dan berdakap bagi mengeratkan saf perpaduan dalam kalangan anggotanya.

Beliau berkata, KEADILAN mampu menunjukkan contoh dan membuktikan kepada dunia bahawa parti itu mampu mengurus demokrasi dengan baik dan bertanggungjawab.

“Proses ini (pemilihan) walaupun ramai mengadu..tidak mengapa..sebab demokrasi ini memang proses riuh..di Sungai Petani riuh, Gombak pun riuh, di Pandan riuh, di Pensiangan pun riuh.

“Politik ini bukan pemilihan kuasa sahaja, tetapi nilai, adab, etika dan budaya baik. Ini uniknya KEADILAN lalui banyak cabaran, tetapi muncul sebagai parti kuat dan tekad membawa obor reformasi.

“Lihat sekeliling kita, kiri dan kanan apakah musuh kita? Tengok sebelah kanan dan kiri. Mereka bukan musuh kita, musuh kita ada di luar sana..dalam dewan adalah keluarga besar keadilan..dan kalau keluarga besar boleh bersalam berdakap erat tidak boleh gugat KEADILAN sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Mohamed Azmin menyingkap perjalanannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden sebelum ini bukannya senang dan percuma.

Bagaimanapun, beliau tetap tenang dan bersikap matang kerana berpegang prinsip ‘orang yang tenang akan berjaya selama-lamanya’.

“Tidak mengapa..jangan gundah gelana macam perang dunia ke ketiga. Apabila ada pemimpin bersikap matang, semua boleh diselesaikan.

“Saya berada di sini bukan percuma. Dari dulu kena lawan. Mula-mula Zahid, kemudian Khalid Ibrahim, lepas itu....Rafizi dia tidak lawan saya, tetapi menawarkan khidmat pada parti.

“Tiada masalah saya ‘cool’ sahaja..tenang..pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tenang. Tetapi dalam hati, dia tak tahu, aku kena serang kiri dan kanan, tetapi tak mengapa..orang yang tenang akan berjaya selama-lamanya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan perwakilan di kongres itu.

Beliau turut berkongsi kisah ketika mahu merebut jawatan orang nombor dua dalam parti itu apabila berani mencabar Dr Syed Husin Ali.

Bagaimanapun, menarik diri apabila Anwar memintanya supaya tidak melawan gurunya.

“Anwar ada memanggil saya. Katanya, janganlah lawan Dr..dia pemimpin lama, cikgu saya. Betul..saya dengar dan akir nasihatnya sebab saya menghormati Dr kerana Dr melahirkan murid yang terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dunia.

“Jadi, saya menarik diri. Kalau saudara-saudara ada resam yang sama, tenang dan ‘cool’. Tetapi kena terima demokrasi hari ini. Rafizi tawar diri pada penggal ini, penggal nanti tidak tahu lagi, saya dengar Sam (Shamsul Iskandar) nak lawan saya..Langkah mayat aku dulu,” katanya sambil ketawa.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619