NASIONAL

Air mata Wan Azizah tumpah kenang ranjau perjuangan 20 tahun Reformasi

17 Nov 2018, 3:21 AM
Air mata Wan Azizah tumpah kenang ranjau perjuangan 20 tahun Reformasi
Air mata Wan Azizah tumpah kenang ranjau perjuangan 20 tahun Reformasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu tatkala menyingkap kembali kepayahan dan kepiluan dalam perjuangan ditempohi selama lebih 20 tahun lalu.

Suasana sayu ini jelas dilihat apabila beliau mengalirkan air mata ketika mengimbas kembali pahit getir liku perjalanan yang dilaluinya.

Wan Azizah menyifatkan beliau merentasi tiga fasa perjuangan yang setiap satunya mempunyai cabarannya tersendiri.

Fasa terbabit adalah, 1998 hingga Mac 2004 yang disifatkannya sebagai zaman penuh semangat berkobar di mana bermulanya gerakan reformasi dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam tempoh itu, Wan Azizah turut mengimbas kembali detik suaminya tampil di mahkamah dengan mata lebam dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun pada 14 Februari 1999 yang terkenal dengan peristiwa 'Black 14'

Fasa kedua pula, Mac 2004-September 2004 yang disifatkannya sebagai enam bulan yang getir, sunyi dan sepi.

"Saya benar-benar merasai kesunyian yang amat sangat di mana Barisan Alternatif (BA) musnah, kita kalah teruk dalam Pilihanraya dengan hanya Permatang Pauh menjadi penyelamat maruah parti.

"Hampir semua hilang membawa diri masing-masing yang tinggal hanyalah beberapa orang penyokong setia yang taat mendatangi rumah kami tanpa jemu dan penat sementara sebahagian pimpinan isytihar keluar parti kembali kepada Umno dan menyerang KEADILAN.

"Masa itu dunia terasa gelap tiada lagi teriakan reformasi," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional KEADILAN Ke-13 di IDCC di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat beberapa teman masih setia menziarahi beliau di kediamannya, di Bukit Damansara.

Manakala fasa ketiga disifatkan sebagai zaman fitnah dalaman di antara Februari 2015 hingga 9 Mei 2018 (PRU-14) lalu.

Wan Azizah berkata, dalam tempoh itu beliau merasa sedih, pilu, dihampakan dan dihina dengan pelbagai tohmahan seperti gelaran Istana Bukit Segambut, parti anak beranak dan sebagainya.

Beliau bagaimanapun redha dengan ketentuan Ilahi dan yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619