SUKANKINI

Cub Prix: Afif atur strategi terbaik di Jempul

16 Nov 2018, 8:00 AM
Cub Prix: Afif atur strategi terbaik di Jempul
Cub Prix: Afif atur strategi terbaik di Jempul

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 NOV: Ahmad Afif Amran bakal dinobatkan juara keseluruhan kategori CP150 jika menamatkan perlumbaan pada kelompok 10 pelumba terbaik, pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu kini berkelebihan 44 mata ke atas pencabar terdekat, Kasma Daniel Kasmayuddin yang menyekat Afif daripada memenangi gelaran lebih awal selepas menjuarai perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Walaupun hanya perlu menempatkan diri pada kedudukan ke-10, namun Afif perlu bijak mengatur strategi memandangkan gandingannya bersama Md Hafiz Nor Azman dan Md Aiman Tahiruddin turut bersaing memastikan gelaran juara keseluruhan berpasukan menjadi milik mereka.

Secara matematik, Afif berkata, enam mata sudah cukup membantunya mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan tetapi pada masa sama beliau perlu mengumpul banyak mata untuk pasukan kerana kedudukan dengan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor belum selamat.

"Jika pelumba mereka menamatkan perlumbaan di podium, jurang mata kami akan semakin mengecil, maka saya dan Hafiz serta Aiman perlu menamatkan perlumbaan di podium atau tidak boleh ketinggalan jauh dengan mereka.

"Saya dan rakan sepasukan perlu merencana strategi terbaik untuk memastikan kedua gelaran menjadi milik pasukan kami, pada musim ini dan Hafiz juga sedang bersaing menamatkan musim ini dalam kelompok tiga pelumba terbaik.

"Maka, beliau perlu menamatkan saingan di atas podium, mudah-mudahan semuanya berjalan lancar minggu ini," katanya.

Selepas lapan pusingan, PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing mendahului kedudukan keseluruhan berpasukan dengan 298 mata, manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di kedudukan kedua (248 mata).

Manakala Motul Zeneos Yamaha YY Pang (ketiga) dengan 118 mata.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619