SELANGOR

Aktif politik tak halang Najwan terima Ijazah Sarjana

7 Nov 2018, 1:37 AM
Aktif politik tak halang Najwan terima Ijazah Sarjana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 NOV: Menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak menghalang Mohd Najwan Halimi memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Tadbir Urus Korporat), pada Istiadat Konvokesyen ke-42 Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berusia 33 tahun itu berkata, kejayaan terbabit membuktikan keputusan menerima tawaran mewakili Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada Mei lalu tepat walaupun sibuk dengan kuliah dan tugasan.

Beliau membahagikan jadual waktu belajar dan bekerja sebaik mungkin supaya pembabitan dalam aktiviti politik tidak terganggu.

"Saya akan memastikan setiap tugasan dan kuliah disiapkan tanpa masalah dan tekad menghabiskan pelajaran sehingga saya banyak menyertai kerja kumpulan sepanjang mengikuti pengajian separuh masa.

"Walaupun saya bekerja dan belajar, saya perlu kuatkan semangat untuk menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

"Pada masa sama, saya perlu bijak membahagikan masa untuk keluarga, terutama anak yang masih kecil dan memang saya peruntukkan masa untuk mereka, pada hujung minggu apabila tiada program," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau yang turut mewakili daerah Hulu Selangor dalam sukan tenis semasa sekolah menengah dan bola sepak daerah Petaling semasa sekolah rendah, mahu memperkasakan diri dalam arena politik.

Katanya, kerjaya sebagai wakil rakyat sememangnya mencabar tetapi menyeronokkan kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

"Saya berjinak dengan politik apabila menjadi Exco Persatuan Pelajar Islam, di sebuah universiti tempatan.

"Saya mahu 'establish' diri dalam politik dan pada masa sama berhasrat menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang politik dan pentadbiran atau sains politik," katanya.

Pada PRU14 lalu, Najwan memenangi DUN Kota Anggerik dengan majoriti 17,004 undi dalam saingan tiga penjuru.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619