EKONOMI

Kerajaan komited kukuhkan semula kedudukan kewangan awam

2 Nov 2018, 8:44 AM
Kerajaan komited kukuhkan semula kedudukan kewangan awam

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan komited memperkukuh semula kedudukan kewangan awam dengan menambah baik rangka kerja fiskal terutamanya melalui pembaharuan institusi, semakan semula perbelanjaan awam dan pembaharuan dasar cukai.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, pembaharuan ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif dengan sokongan padu daripada semua pihak.

“Bagi tujuan ini, sesi libat urus secara berkesan dengan pihak berkepentingan merupakan faktor utama memastikan kejayaan pembaharuan fiskal,” kata MoF.

Pembaharuan fiskal yang dijalankan kerajaan perlu menyeluruh dan strategik dengan mengambil kira prestasi dan unjuran ekonomi domestik serta global.

“Langkah ini penting bagi memastikan kerajaan dapat memperkukuh kedudukan fiskal di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” menurut laporan itu.

Mengambil kira magnitud kesan negatif krisis global kepada negara yang mempunyai paras hutang tinggi maka sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan langkah pembaharuan fiskal secara proaktif, kata laporan itu.

Pengalaman negara lain berkaitan pelaksanaan dasar dan pembaharuan fiskal menjadi rujukan penting kepada kerajaan dalam menerima pakai dan mengadaptasi amalan terbaik berkaitan inisiatif pembaharuan fiskal.

“Pembaharuan ini akan memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan seterusnya mewujudkan ruang fiskal untuk meningkatkan daya tahan ekonomi terutamanya semasa krisis,” kata laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah pembaharuan fiskal termasuk merasionalisasi subsidi, memperkemas agensi kerajaan dan meningkatkan ketelusan dalam perolehan kerajaan.

Katanya, langkah pembaharuan tersebut telah meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan antara lain melalui peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

“Rasionalisasi subsidi telah mengurangkan perbelanjaan untuk subsidi dan bantuan sosial daripada RM39.7 bilion pada 2014 kepada RM22.3 bilion pada 2017.

“Namun demikian, subsidi hanya merupakan sebahagian kecil daripada instrumen dasar fiskal dan terdapat aspek lain dasar fiskal yang wajar disemak semula untuk tujuan pembaharuan fiskal,” kata laporan itu.

SUMBER: BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619