EKONOMI

Azmin: FDI China masih dialu-alukan

30 Okt 2018, 9:50 AM
Azmin: FDI China masih dialu-alukan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dari mana-mana negara, termasuk China, kerana ia memberi manfaat kepada negara melalui modal, teknologi, penciptaan nilai, pekerjaan dan pemindahan kemahiran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kerajaan akan terus terbuka untuk menerima sebarang FDI termasuk dari China, namun ia perlu mematuhi dan menghormati dasar yang telah ditetapkan dan mesti mewujudkan nilai serta peluang kepada penduduk tempatan.

"Kami mahu memastikan pelabur-pelabur asing akan menggunakan Malaysia sebagai destinasi akhir mereka untuk melaburkan modal dan pelaburan, dan ini pastinya akan mendorong pertumbuhan ekonomi kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Bersama ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Asia Tenggara’ oleh CIMB ASEAN Research Institute dan Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Diplomasi dan Strategi (IDEAS) LSE serta Siri Perbincangan Panel Meja Bulat ASEAN di sini, hari ini.

Azmin berkata Malaysia akan mendapat banyak keuntungan daripada BRI yang akan membantu merapatkan jurang infrastruktur dan kesalinghubungan antara Malaysia dan negara-negara ASEAN.

"Saya bersetuju dengan tanggapan dalam laporan bahawa BRI tidak seharusnya menjadi satu kemenangan untuk satu negara, tetapi sebaliknya berjaya untuk semua, sama seperti bagaimana Presiden Xi (Jinping) telah memanggil projek BRI sebagai 'jalan untuk perdamaian'," katanya.

Beliau berkata sehingga Ogos 2018, import dari China ke Malaysia mencecah RM116.9 bilion, antara yang tertinggi di kalangan negara-negara perdagangan, manakala eksport ke China berjumlah RM89.3 bilion, juga yang tertinggi di kalangan negara-negara lain.

SUMBER: BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619