NASIONAL

Kes GST: PAC panggil Najib beri keterangan esok

23 Okt 2018, 8:53 AM
Kes GST: PAC panggil Najib beri keterangan esok

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi keterangan berkaitan isu bayaran tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 juta, esok.

Timbalan Pengerusinya, Wong Kah Wah berkata, keterangan itu penting bagi membantu PAC dalam perkara berkaitan.

"Kita akan memanggil Najib untuk memberikan keterangan berkenannya esok dan selepas itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga akan dipanggil bagi tujuan sama.

"Segala keterangan dan bukti akan kita teliti untuk melengkapkan prosiding nanti," katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas PAC selesai mengambil keterangan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar.

Kah Woh berkata, ia adalah kali kedua PAC mengadakan sesi itu bersama Mohd Irwan.

"PAC sudah mengambil keterangan beliau dan ia hanya berhubung kait dengan isu GST," katanya.

Berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), katanya, PAC akan memulakan prosiding minggu depan dengan memanggil mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai saksi pertama bagi memberi keterangan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619