GLOBAL

Pembunuhan Jamal Khashoggi satu kezaliman - Dr Mahathir

23 Okt 2018, 2:40 AM
Pembunuhan Jamal Khashoggi satu kezaliman - Dr Mahathir

SHAH ALAM 23 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi merupakan satu kezaliman yang amat sangat dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata negara ini tidak menyokong perbuatan membunuh seorang pengkritik kerajaan.

"Kita ada orang yang kita tidak suka, tetapi kita tidak boleh bunuh dia sebab tidak suka dia. Nasib baik, pasal saya dulu pun orang tidak suka. Kalau kita ada sistem macam sistem Arab mungkin saya tidak boleh cakap hari ini.

"Alhamdulillah di negara kita tiada kezaliman macam itu," katanya pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di sini, semalam.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya berkenaan pendirian Malaysia berhubung pembunuhan tersebut.

Pada Sabtu lepas, Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul.

Menurut laporan itu perbincangan di antara kolumnis akhbar Washington Post itu dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya.

Susulan pembunuhan Khashoggi, komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan beberapa negara dilaporkan membatalkan penyertaan dalam persidangan pelaburan Arab Saudi di Riyadh.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619