SELANGOR

Amirudin yakin JPP bersedia hadapi pemilihan Selangor, elak kekacauan

6 Okt 2018, 3:28 AM
Amirudin yakin JPP bersedia hadapi pemilihan Selangor, elak kekacauan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Anggota KEADILAN di Selangor digesa tolak sebarang tindak tanduk yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni pada Pemilihan KEADILAN 2018 peringkat Negeri Selangor.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau difahamkan pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) turut membuat persediaan rapi khasnya membabitkan isu keselamatan ketika pemilihan di Selangor berlangsung.

"Pemilihan di Selangor saya harapkan berjalan lancar, tidak berlaku apa-apa dan walaupun saya ada berhubung pihak polis untuk bersedia namun menjadi tanggungjawab penganjur untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik terutamanya hal dalaman parti.

"Saya akan adakan mesyuarat khusus dengan semua pengendali untuk memastikan semua berjalan lancar walaupun ada pertandingan di semua peringkat namun saya harap semuanya bertarung dengan baik, tidak menimbulkan suasana kurang baik terutamanya ketika pemilihan berlangsung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta Bukit Malawati Xploride 2018 di kaki Bukit Malawati di sini, hari ini.

Beliau yang juga bertanding merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, KEADILAN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak melanggar peraturan pemilihan dan mencetuskan kekacauan.

Katanya, ketegasan parti boleh dilihat apabila KEADILAN baru-baru ini mengambil tindakan tegas dengan memecat anggota yang terlibat dengan perlakuan ganas.

Amirudin berharap suasana aman dan lancar ketika pemilihan peringkat Negeri Johor, Terengganu serta Kelantan baru-baru ini dapat diteruskan di Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619