GLOBAL

Gempa Sulawesi: 800 jemaah berada di Masjid Baiturrahman sebelum tsunami

4 Okt 2018, 7:49 AM
Gempa Sulawesi: 800 jemaah berada di Masjid Baiturrahman sebelum tsunami

KOTA PALU 4 OKT: Sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Kota Palu menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter dan kejadian tsunami di sini, Jumaat lalu.

Dianggarkan 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat maghrib ketika musibah melanda.

Seorang mangsa, Sultami Abdul Rohim, 31, yang ketika kejadian berada berhampiran masjid itu berkata sebelum ombak naik, berlaku satu gegaran kuat hingga berlaku retakan pada bangunan.

"Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.

"Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran," katanya kepada Bernama hari ini.

Sultami berkata dalam kekalutan itu, beliau sempat menyelamatkan diri dengan naik ke bangunan kedai berhampiran.

Menurutnya, kawasan masjid itu turut menempatkan sekolah agama namun semua pelajarnya selamat kerana ketika kejadian waktu sekolah telah tamat.

"Jumlah mayat yang dijumpai di kawasan berhampiran masjid itu antara yang paling ramai, sekitar 300 orang," katanya.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada lebih 1,424 orang.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619