SELANGOR

Kementerian Kesihatan pandang serius isu kesesakan trafik Hospital Serdang

3 Okt 2018, 7:40 AM
Kementerian Kesihatan pandang serius isu kesesakan trafik Hospital Serdang
Kementerian Kesihatan pandang serius isu kesesakan trafik Hospital Serdang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 3 OKT: Kementerian Kesihatan memandang serius isu kesesakan trafik dan tempat letak kenderaan tidak mencukupi yang berlaku di Hospital Serdang.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan bersama Menteri, Dr Dzulkefly Ahmad serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.

"Setelah membuat lawatan bersama kakitangan hospital, saya boleh melihat sendiri keadaan kesesakan yang begitu serius memandangkan hospital ini menjadi tumpuan warga Selangor dan juga luar daripada negeri ini.

"Kita akan melihat tindakan yang bersesuaian untuk mengatasinya, namun begitu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada warga hospital kerana bertungkus lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik walaupun dalam keadaan tertekan dan terhad ini," katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Serdang, hari ini.

Hadir sama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan, dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato' Dr Khalid Ibrahim.

Boon Chye turut dibawa melawat ke Jabatan Kecemasan & Trauma, Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Kaunter Pendaftaran (Sementara) Klinik Pakar, Wad Perubatan (8C) dan Wad Rehabilitasi (6G), Pusat Rawatan Harian (CHDW / ICW) dan Makmal Jantung Invasif (ICL).

Pada masa sama, Boon Chye berkata, beliau juga akan membawa isu bagi menaiktaraf makmal neonatal di Unit Rawatan Rapi (ICU), bahagian jantung serta penambahan wad di hospital terbabit.

"Kita juga akan melihat penambahbaikan daripada sudut teknologi maklumat dan komputer bagi menampung keperluan sedia ada," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619