GLOBAL

Angka korban 1,374, hampir 200,000 perlu bantuan segera

3 Okt 2018, 2:05 AM
Angka korban 1,374, hampir 200,000 perlu bantuan segera

PALU 3 OKT: Hampir 1,400 penduduk terbunuh dalam bencana gempa bumi disusuli tsunami di pulau Sulawesi, dengan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mangsa terselamat dan pasukan penyelamat memerlukan bantuan besar-besaran.

Hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, kata pegawai kemanusiaan PBB, antara mereka ialah puluhan ribu kanak-kanak, dengan anggaran 66,000 rumah musnah atau rosak susulan gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami yang dicetuskan gegaran itu.

Mangsa terselamat bergelut dengan dahaga dan kelaparan, dengan kekurangan bekalan makanan dan air bersih, dan hospital tempatan dipenuhi penduduk yang cedera.

“Satu yang dirasakan pasukan yang bekerja di situ adalah amat kecewa.

“Penyelamat masih tidak dapat sampai ke kawasan besar yang teruk terjejas dan mereka terus berusaha, melakukan apa yang terdaya,” kata jurucakap pejabat kemanusiaan badan dunia itu, Jens Laerke, kepada wartawan di Geneva lewat semalam.

Di Palu yang paling teruk dilanda bencana itu, menyaksikan penduduk, kereta dan rumah dihanyutkan, polis melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata semalam untuk menghalang orang ramai menggeledah kedai.

Ketika mangsa terselamat diselamatkan daripada kawasan kejiranan yang musnah, mereka menemui lebih banyak mayat.

“Angka kematian kini 1,374, dengan 113 lagi hilang.

“Masih ada mayat terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak tahu berapa banyak.

“Keutamaan adalah mencari dan menyelamatkan penduduk,” kata ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Willem Rampangilei.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan terus meningkat ketika penyelamat berjaya menghubungi kawasan yang terputus sebelum ini.

Pusat Penyelamatan Bantuan Kemanusiaan ASEAN yang beribu pejabat di Indonesia berkata, lebih banyak beg mayat diperlukan segera ketika kebimbangan memuncak mayat yang mula reput akan menjadi tempat merebak penyakit bahaya.

SUMBER: AFP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619