GLOBAL

3 faktor buat kesan bencana Sulawesi bertambah parah

2 Okt 2018, 7:00 AM
3 faktor buat kesan bencana Sulawesi bertambah parah

JAKARTA 2 OKT: Sistem amaran tidak mencukupi, kekurangan pendidikan bagaimana menghadapi gempa bumi dan keadaan teluk sempit yang membantu memperkuat ombak tsunami dikenal pasti sebagai faktor menyebabkan kesan bencana di Sulawesi bertambah parah.

“Tiada maklumat mengenai tsunami direkodkan stesen pemantau aliran pasang surut di Palu kerana ia tidak berfungsi,” kata pakar tsunami Indonesia, Widjo Kongko.

Stesen itu memeriksa perubahan aliran arus dan sepatutnya dapat mengesannya jika ombak besar menuju ke bandar itu.

Selepas gempa berlaku, agensi geofizik Indonesia yang memantau aktiviti seismik, mengeluarkan amaran tsunami tetapi menarik balik amaran tidak lama selepas itu.

Pakar lain, bagaimanapun, berkata jika sekalipun ia berfungsi, penduduk masih tidak ada banyak masa untuk lari ke tempat selamat kerana ombak itu hanya dikesan dekat pantai.

Usaha memperbaiki sistem dihantui masalah termasuk gagal menyelenggara peralatan hinggalah birokrasi.

Selepas bencana gempa dan tsunami pada 2004 dekat pulau Sumatera menyebabkan 220,000 maut di Asia, 22 boya (pelampung) amaran awal dipasang sekitar perairan Indonesia bagi mengesan tsunami.

Tetapi, pegawai mengakui mereka tidak lagi berfungsi selepas menjadi mangsa vandalisme selain kekurangan dana untuk senggaraan.

Dalam satu lagi kes, projek besar yang mendapat dana daripada Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat meletak pengesan tsunami berteknologi tinggi di kawasan kerap dilanda gempa di barat Indonesia, pula telah ditunda.

Louise Comfort, pakar bencana alam dari Universiti Pittsburgh, berkata projek itu ditangguhkan selepas tiada persetujuan antara agensi kerajaan manakala pembiayaan juga ditunda.

Pihak lain meminta fokus ditekankan kepada mendidik penduduk segera ke tempat tinggi selepas gempa melanda.

“Bagi Indonesia untuk cuba mempertahankan kesan buruk kepada kawasan pantainya, pendidikan lebih utama daripada teknologi,” kata Adam Switzer, pakar tsunami dari Jabatan Pemantau Bumi, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

“Semua kanak-kanak di Indonesia perlu diajar apa yang mereka patut buat ketika berada di pantai apabila gempa berlaku.”

Pakar lain pula percaya tsunami kali ini berpunca daripada tanah runtuh di dasar laut selepas gegaran berlaku.

Bentuk geografi unik Palu tidak membantu, kata mereka, kerana tsunami biasanya meluncur laju apabila melalui selat sempit dekat kota itu.

SUMBER: AFP

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619