NASIONAL

Levi import akan dikena pada sisa plastik- KPKT

25 Sep 2018, 6:21 AM
Levi import akan dikena pada sisa plastik- KPKT

KUALA LANGAT, 25 SEPT: Kerajaan akan memperkenalkan syarat-syarat baharu bagi permohonan lesen permit import (AP) sisa plastik termasuk mengenakan levi sebanyak RM15 bagi setiap tan barangan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, antara syarat baharu lain adalah syarikat pengimport mestilah mempunyai kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar selain perlu mengemukakan maklumat sumber sisa plastik dibeli.

Tambah beliau lagi, syarikat yang mahu memohon AP berkenaan juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Permohonan AP untuk mengimport sisa plastik ini telah kita bekukan buat masa ini dan hanya akan dibuka semula pada 23 Okt depan dan bagi syarikat yang mahu memohon, mereka perlu patuh terhadap peraturan-peraturan baharu ini.

"...pengenalan levi turut akan dikenakan pada tarikh yang sama, di mana sebelum ini sebarang pengimportan sisa plastik tidak dikenakan sebarang levi," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat berkaitan isu aduan kilang memproses sisa plastik tidak berlesen di sini hari ini.

Tambah Zuraida, menurut rekod kementeriannya, sebanyak 234 permohonan untuk AP berkenaan telah diterima dan hanya 114 syarikat yang aktif dan daripada jumlah itu, hanya 51 syarikat mempunyai kelulusan daripada MIDA.

Sementara itu mengulas mengenai isu kilang memproses sisa plastik, Zuraida berkata terdapat 54 kilang seumpamanya di daerah berkenaan dan hanya 13 kilang yang mempunyai lesen operasi yang sah.

"Kilang-kilang yang tidak mempunyai lesen ini akan diarahkan tutup dan satu mesyuarat akan dijalankan pada minggu depan bersama pemilik kilang tidak berlesen ini untuk mencari jalan terbaik bagaimana untuk melupuskan sisa-sisa plastik yang ada di kilang itu," katanya.

Katanya lagi pada masa akan datang pihaknya juga akan mengarahkan kilang-kilang memproses sisa plastik yang berlesen untuk dipindahkan ke kawasan perindustrian berat kerana kilang sedemikian tidak sesuai untuk beroperasi di kawasan yang berhampiran dengan kawasan kediaman.

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan penduduk di Kuala Langat terutamanya di Telok Panglima Garang terdedah dengan risiko pelbagai jenis penyakit termasuk kanser apabila daerah itu dijadikan tempat longgokan plastik kitar semula dari serata dunia.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619