NASIONAL

Kes kematian keracunan methanol dijangka meningkat

20 Sep 2018, 2:03 AM
Kes kematian keracunan methanol dijangka meningkat
Kes kematian keracunan methanol dijangka meningkat
Kes kematian keracunan methanol dijangka meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 20 SEPT: Jumlah kematian akibat keracunan methanol meningkat kepada 21 orang selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima maklumat tentang dua kematian di luar fasiliti KKM.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kematian itu dijangka meningkat dan pihak KKM tidak dapat mengesahkan jumlah kematian yang berlaku di luar fasiliti kesihatan KKM, setakat ini.

"Kelmarin jumlah kematian sebanyak 19 dan meningkat kepada 21 orang berdasarkan maklumat dua kematian itu diberikan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, tiga jenama minuman beralkohol yang disyaki mengandungi racun methanol ialah Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan bir berjenama King Fisher.

Katanya, hasil analisis setakat ini mengesahkan minuman beralkohol jenama Grand Royal Whisky mengandungi methanol yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

"Di samping itu, produk berkenaan tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 seperti tiada nama dan alamat pengilang, pengimport atau ejen," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM sedang mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol terbabit dan produk minuman beralkohol jenama lain yang tidak mematuhi perundangan makanan.

"Sehingga Selasa lalu sebanyak 291 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama yang terbabit disita.

"KKM akan bekerjasama dengan PDRM, Kastam DiRaja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), pihak majikan pekerja asing yang terbabit dan agensi yang berkaitan bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi keracunan itu.

"Infografik, risalah dan pendidikan kesihatan dalam bahasa asing akan turut diedarkan kepada warga asing bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pengambilan minuman beralkohol yang mungkin mengandungi methanol," katanya.

Dr Zulkefly berkata, wakil dari pihak pengeluar minuman beralkohol dan bir jenama berkenaan sudah tampil membantu KKM untuk membersihkan nama mereka.

"KKM tidak menolak kemungkinan minuman berkenaan bukan produk asli dan dihasilkan dari kegiatan pengeluaran haram.

“Siasatan juga dijalankan bagi menentukan sama ada minuman itu dicampur bahan lain atau minuman tiruan,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619