SELANGOR

Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor sertai AMANAH

12 Sep 2018, 2:36 AM
Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor sertai AMANAH
Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor sertai AMANAH

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerjasama PAS dan Umno dalam dua pilihan raya kecil (PRK), baru-baru ini akhirnya mendorong bekas Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor, Hairul Nizam Tohar meninggalkan parti itu dan memilih menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya, keputusan itu diambil ekoran kecewa dengan PAS menjalin hubungan bersama Umno yang bertanggungjawab merosakkan negara dalam pelbagai aspek.

"Keputusan ini saya buat kerana prinsip tidak boleh bersama kemungkaran dan kezaliman, tambahan pula kita tahu Umno sudah lama merosakkan negara, justeru bila PAS semakin akrab serta intim bersama parti itu, saya tidak gembira.

"Desas-desus PAS mahu bersama Umno sudah lama saya dengar dan kaji. Akhirnya bila PRK DUN Sungai Kandis, ia jadi kenyataan, maka sampailah masa saya meninggalkan PAS," katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Kuala Langat berkata, PAS juga dilihat semakin selesa apabila duduk sepentas bersama pimpinan Umno, pada PRK DUN Seri Setia serta secara jelas menyokong MCA yang sebelum ini terang-terangan turut menentang hudud.

Hairul Nizam turut menjangkakan langkah terbaru PAS itu menyebabkan ramai dalam kalangan ahli PAS merasa tidak selesa dengan suasana terbabit dan ia dapat dibuktikan apabila ramai ahli parti itu tidak turun mengundi.

"Pemuda PAS Kota Raja juga memohon penjelasan daripada pimpinan berkenaan langkah bergandingan dengan Umno.

"Saya rasa mungkin ramai lagi akan meninggalkan PAS sama ada untuk bersama parti lain atau sekadar duduk diam," katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619