NASIONAL

UIAM: Sambut baik pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM

5 Sep 2018, 1:21 PM
UIAM: Sambut baik pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden ketujuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama tiga tahun disambut baik oleh warga universiti itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat UIAM.

“Pengurusan UIAM berpandangan Maszlee merupakan calon yang ideal kerana beliau merupakan seorang bekas pensyarah UIAM. Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas mengenai persekitaran UIAM memandangkan beliau juga pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

“Meskipun sibuk dengan mandat sebagai menteri pendidikan, Maszlee telah menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Presiden UIAM dan beliau juga telah menzahirkan komitmen tidak akan menerima sebarang bayaran sepanjang tempoh memegang jawatan itu,” kata kenyataan itu.

Pelantikan Maszlee juga didukung oleh Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor UIAM, yang menekankan kepentingan menegakkan autonomi universiti supaya dapat mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan yang holistik.

“Dengan pelantikan ini juga, beliau boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah mewujudkan satu taman ilmu yang dihormati oleh masyarakat dalam negara dan antarabangsa, ia sejajar dengan kehendak UIAM yang terdiri dari ahli negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khususnya serta negara lain amnya.

 

“Jawatankuasa Pengurusan Universiti, kakitangan akademik dan pentadbiran serta seluruh pelajar UIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dr Maszlee Malik atas pelantikan ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah telah memberi perkenan atas pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Pihak UIAM turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Rais atas sumbangan serta jasa beliau kepada UIAM sepanjang menerajui UIAM sebagai presiden.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619