NASIONAL

Tentera Darat dijangka peroleh helikopter tempur awal tahun depan

5 Sep 2018, 5:12 AM
Tentera Darat dijangka peroleh helikopter tempur awal tahun depan
Tentera Darat dijangka peroleh helikopter tempur awal tahun depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Tentera Darat dijangka memperoleh helikopter tempur ringan jenis MD 530-G secara berperingkat awal tahun depan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, buat masa ini, pihaknya sedang membuat percubaan pemanduan terhadap helikopter buatan syarikat McDonnell Douglas itu.

“Jika mengikut perancangan ia (akan diperoleh) awal tahun depan, perolehan aset ini mengikut perancangan dan kita berpuas hati. Buat masa ini, Tentera Darat masih dapat laksanakan tugas menggunakan aset sedia ada,” katanya.

Ahmad Hasbullah berkata demikian dalam sidang media selepas Perbarisan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-27 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata Tentera Darat bakal menerima perolehan aset baharu antaranya enam helikopter tempur ringan jenis MD 530-G menerusi Bajet 2018.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah mengingatkan anggota dan pegawai Tentera Darat agar sentiasa berwaspada ancaman kumpulan militan Daesh.

“Pihak Tentera Darat sentiasa menjalankan program kesedaran bagi mengelak anggotanya daripada terpengaruh dengan kegiatan seperti itu,” katanya.

Beliau juga berkata empat teras yang digariskan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin akan dilaksanakan bagi memastikan Tentera Darat kekal cemerlang.

Teras tersebut adalah Angkatan Profesional, Ketumbukan yang Siap Siaga, Keutuhan Organisasi dan Memperkasa Kualiti Hidup

“Arahan Kementerian Pertahanan juga akan dilaksanakan dan anggota tentera diingatkan supaya fokus terhadap tugas yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619