SELANGOR

IPR atasi isu kemiskinan

4 Sep 2018, 7:15 AM
IPR atasi isu kemiskinan
IPR atasi isu kemiskinan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program termasuk agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi menangani masalah kemiskinan dihadapi rakyat, di Selangor.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan peduli rakyat ekoran menyedari isu kemiskinan masih membelenggu khususnya dalam kalangan kurang berkemampuan.

"Bukan sahaja bertindak selaku penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar, Selangor sentiasa ke hadapan dan menjadi peneraju dalam menyediakan inisiatif bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan serta meningkatkan taraf hidup mereka yang masih dalam kitaran kemisikinan.

"Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif untuk memberdayakan rakyat supaya keluar daripada kitaran kemiskinan.

"Program dijalankan bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 Tahun 2018 di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, antara inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak 2008 ialah 42 program IPR bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan bebanan kos sara hidup daripada dimensi kesihatan, pendidikan serta taraf hidup rakyat.

Katanya, antara program IPR ialah Rumah Selangorku, Kasih Ibu Smart Selangopr (KISS), Skim Peduli Sihat, Hijrah Selangor dan Skim Peduli Siswa.

"Semua program dijalankan dan agenda Kerajaan Negeri bagi menangani isu kemiskinan menunjukkan impak positif demi memastikan kelangsungan hidup rakyat lebih baik.

"Kemiskinan bandar adalah masalah sosio ekonomi utama berlaku di seluruh dunia, termasuk di negara membangun dan kita semua sedia maklum ia memerlukan semangat serta ikhtiar tinggi bagi mendepani kos sara hidup lebih tinggi berbanding di luar bandar," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai rancangan untuk mengkaji kadar kemiskinan bandar secara spesifik kerana terdapat pelbagai laporan sosio ekonomi disediakan pelbagai pihak berkaitan.

"Kerajaan Negeri sedar masa depan negara terletak di tangan anak muda dan kanak-kanak, justeru kita akan meneruskan kesinambungan pendekatan peduli rakyat dengan golongan terbabit tidak terkecuali," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619