NASIONAL

KTM Komuter kuat kuasa transaksi tambang tanpa tunai mulai 10 September

30 Ogos 2018, 7:04 AM
KTM Komuter kuat kuasa transaksi tambang tanpa tunai mulai 10 September

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter di sekitar Lembah Klang akan melaksanakan transaksi tambang tanpa tunai berkuat kuasa pada 10 September depan.

Pengurus Besar Perolehannya, Mohd Hider Yusoff berkata, buat permulaan, bayaran tambang tanpa tunai tersebut diwajibkan ke atas penumpang dewasa dan pelajar.

"Selain menggunakan kad Touch 'n Go dan MyKad, pengenalan kad Komuter Link juga akan memudahkan urusan transaksi perjalanan pengguna," katanya pada sidang media KTM Komuter Go Cashless di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter Khair Johari Ishak.

Katanya lebih 85 peratus pengguna KTM Komuter kini sudah mengunakan transaksi bayaran tambang tanpa tunai bagi perjalanan mereka manakala selebihnya masih menggunakan token.

"Kami yakin pelaksanaannya berjalan lancar memandangkan mesin sedia ada sudah dilengkapi fungsi bagi urusan tambah nilai bagi semua jenis kad," katanya.

Khair Johari berkata selain mesin tambah nilai, KTM juga telah mula mengedarkan secara percuma lebih sejuta kad Komuter Link Dewasa dan Konsesi sejak Julai 2017 sebagai persediaan kepada peralihan tersebut.

"Sebanyak 30,000 kad Komuter Link Dewasa akan diberi secara percuma mulai 10 hingga 16 September ini. Selepas tarikh tersebut, kad Komuter Link akan mula dijual semula dengan harga RM5 (tanpa tambah nilai) di kaunter tiket, mesin tiket dan melalui kru mobile team di stesen-stesen utama KTM Komuter," jelasnya.

Pelaksanaan transaksi tanpa tunai ini juga akan menyaksikan pengguna menikmati kadar tambang yang lebih murah iaitu hingga 20 peratus, di samping menjimatkan masa beratur di kaunter atau mesin tiket untuk membayar tambang.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619