AGAMA

Tun M sertai 15,000 umat Islam solat sunat Aidiladha

22 Ogos 2018, 1:54 AM
Tun M sertai 15,000 umat Islam solat sunat Aidiladha
Tun M sertai 15,000 umat Islam solat sunat Aidiladha

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyertai lebih 15,000 umat Islam termasuk warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha, di Masjid Negara, di sini, pagi ini.

Beliau yang mengenakan persalinan lengkap baju Melayu berwarna ungu tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 8.02 pagi dan terus menyertai jemaah, di ruang solat utama.

Sebelum itu, ketibaan beliau turut diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Dr Mahathir dan jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, yang turut bertindak selaku khatib.

Pengisian khutbah bertajuk 'Aidiladha: Manifestasi Penyerahan Kepada Pencipta' tertumpu kepada mensyukuri nikmat iman dan Islam, dikurniakan Pencipta.

Sementara itu, Syaikh Ismail ketika menyampaikan khutbah selepas solat sunat turut menyeru umat Islam supaya bertawakal kepada Allah SWT, sekali gus menjadikan masyarakat berkasih sayang sebagai petanda jiwa beriman.

“Kita perlu berserah diri dan bergantung kepada Allah SWT dengan ujian yang diberikan memperlihatkan kebergantungan kepadaNya.

“Jika diuji, orang mukmin perlu mengambilnya sebagai iktibar dan pengajaran, penghapusan dosa serta mengangkat darjat kedudukan supaya kembali bertakwa kepada Allah SWT,” katanya.

Syaikh Ismail mengakhiri khutbah dengan menyarankan kepada umat Islam yang berkemampuan menjalankan ibadah korban sebagai mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Justeru, semua pihak terbabit dapat menjalankan aktiviti penyembelihan korban mengikut Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban seperti ditetapkan,” katanya.

Sejurus selesai khutbah Aidiladha, Dr Mahathir berkesempatan beramah mesra dengan jemaah yang nyata tidak mahu melepaskan peluang bersalaman dan mengambil gambar bersama Perdana Menteri Malaysia ketujuh itu.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619