ALAM SEKITAR & CUACA

Negara dijangka hadapi cuaca panas, kurang hujan hingga akhir September

16 Ogos 2018, 4:50 AM
Negara dijangka hadapi cuaca panas, kurang hujan hingga akhir September

KUALA LUMPUR 16 OGOS: Beberapa negeri di Semenanjung, kawasan barat Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan di bawah paras purata sepanjang Ogos hingga September, berikutan cuaca panas.

Negeri terbabit adalah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata keadaan itu disebabkan negara sedang mengalami fasa musim Monsun Barat Daya yang antara lain turut menyebabkan suhu menjadi lebih panas daripada kebiasaan.

“Cuaca panas yang melanda di kebanyakan kawasan negara dijangka berlarutan sehingga hujung minggu ini, namun siri cuaca panas masih boleh berlaku sehingga monsun itu berakhir pada hujung September ini.

“Kesemua negeri dijangka kembali menerima hujan pada paras purata mulai September kecuali Sarawak,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menurut jabatan itu lagi, taburan hujan yang lebih rendah secara relatif sepanjang monsun itu boleh mengakibatkan kemarau, jerebu dan kejadian kebakaran hutan.

Sepanjang tempoh itu, julat suhu maksimum tertinggi bagi kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka berada antara 34 hingga 37 darjah Celcius, katanya.

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar sehingga pukul 6 petang semalam, menunjukkan kawasan pantai barat Semenanjung dan Sarawak dilanda jerebu sederhana.

Kebanyakan kawasan terbabit mencatat bacaan sederhana antara 53 hingga 71, manakala bacaan tertinggi adalah di Mukah, Sarawak (85).

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619