NASIONAL

Dr Wan Azizah kekal presiden hingga November

9 Ogos 2018, 6:13 AM
Dr Wan Azizah kekal presiden hingga November
Dr Wan Azizah kekal presiden hingga November

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OGOS: Peralihan kuasa Presiden KEADILAN, daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjalan lancar.

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata, Dr Wan Azizah kekal menerajui parti reformasi itu sehingga Kongres KEADILAN 2018 berlangsung, pada November ini.

"Azizah akan terus menjalankan tugas Presiden KEADILAN hingga peralihan kuasa dijalankan pada kongres parti, November ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Tropicana Merchant Square, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Dr Wan Azizah berjaya membuktikan kemampuannya menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden KEADILAN dengan baik.

Katanya, mengemudi KEADILAN sepanjang ketiadaan beliau selama dua dekad khasnya mengetuai parti itu dalam pilihan raya bukan satu perkara yang mudah.

"Saya bagi pihak semua rakan tentunya ingin menyampaikan penghargaan luar biasa kepada kewibawaan Azizah mengemudi bahtera KEADILAN dalam fasa yang begitu lama. Dua dekad yang penuh liku dan gelombang.

"Tekanan, penghinaan dan pemenjaraan tetapi dapat bertahan walaupun kadang-kadang surut, kadang-kadang pasang sehingga pilihan raya terakhir kerana secara teknikal saya masih dalam penjara ketika itu," katanya.

Terdahulu, Anwar diumumkan menang tanpa bertanding bagi merebut kerusi presiden pada Pemilihan KEADILAN 2018 selepas Dr Wan Azizah tidak mempertahankan jawatannya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619