EKONOMI

Apple syarikat pertama bernilai AS$1 trilion

4 Ogos 2018, 1:36 AM
Apple syarikat pertama bernilai AS$1 trilion

SAN FRANCISCO, California 4 OGOS: Apple Inc muncul firma tersenarai awam pertama bernilai AS$1 trilion (RM4.08 trilion) di dunia sekali gus kemuncak pencapaiannya sejak sedekad lalu yang dipacu oleh produk telefon pintar, iPhone.

Saham syarikat teknologi itu melonjak 2.9 peratus kelmarin untuk ditutup pada harga AS$207.39 (RM846) sesaham, sementara modal terkumpul pula mencecah AS$1.002 trilion (RM4.09 trilion).

Nilai Apple juga meningkat 9 peratus sejak Selasa lalu, didorong oleh laporan pendapatan suku kewa­ngan berakhir Jun lepas yang melebihi jangkaan dan pembelian saham sendiri bernilai AS$20 bi­lion (RM81.59 bilion).

Dalam perutusannya kepada lebih 120,000 pekerja Apple kelmarin seperti yang dilihat agensi berita Reuters, Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook berkata, penilaian AS$1 trilion itu merupakan ‘pencapaian besar’ yang boleh dibanggakan oleh kakitangannya.

Namun begitu, kata Cook , ia bukanlah ukuran paling utama dalam menilai kejayaan Apple.

“Pulangan kewangan ini adalah hasil inovasi ­Apple yang mengutamakan pro­duk dan pelanggan serta sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kita,” kata Cook dalam perutusan tersebut.

Diasaskan di dalam garaj milik pengasas bersama, Steve Jobs dalam tahun 1976, pendapatan Apple meningkat lebih besar daripada keluaran ekonomi beberapa negara termasuk Portugal dan New Zealand.

Nilai Apple juga kini lebih tinggi berbanding gabungan syarikat gergasi AS terdiri daripada ­Ex­xon Mobil Corp, Procter & Gamble Co dan AT&T Inc. Saham pengeluar iPhone itu melonjak lebih 50,000 peratus sejak penawaran awam pertamanya pada tahun 1980.

Jobs meninggal dunia pada tahun 2011 dan digantikan oleh Cook. Beliau berjaya meningkatkan keuntungan Apple seba­nyak dua kali ganda tetapi berdepan kesukaran untuk mengulangi kejayaan mendiang melalui inovasi iPhone.

SUMBER: REUTERS

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619