SELANGOR

Zawawi yakin pengundi tetap pendirian undi PAKATAN

2 Ogos 2018, 7:38 AM
Zawawi yakin pengundi tetap pendirian undi PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kehadiran pemimpin utama Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, tidak akan mengubah pendirian pengundi kawasan berkenaan.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu kerana beliau menganggap kawasan itu hanya menjadi persinggahan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN terbabit.

"Hadirnya mereka ke sini bagi membantu calonnya, jadi ia menjadi tugas mereka sebagai Presiden dan bekas Perdana Menteri.

"Kita lihat juga penerimaan pengundi di sini, saya melihat yang hadir dalam perjumpaan itu kebanyakannya bukan pengundi tempatan, mungkin tetamu luar yang melancong ke Sungai Kandis sempena PRK," katanya pada sidang media, di Dewan MBSA Sungai Kandis, di sini.

Sementara itu, Mohd Zawawi tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya calon lawannya terus menyerang peribadi hingga mengaibkan diri dan keluarganya.

Katanya, pihaknya banyak menerima aduan berkenaan calon lawan yang tidak henti menyerang peribadinya sehingga lupa untuk memperjuangkan isu rakyat kawasan itu.

"Walaupun tinggal dua hari lagi untuk berkempen tetapi pihak lawan masih lupa tujuan sebenar. Mereka hanya tahu menyerang peribadi hingga mengaibkan saya. Oleh itu, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut," katanya.

Pada masa sama, menjelang 4 Ogos ini, Zawawi menasihatkan pengundi DUN berkenaan supaya datang awal ke pusat pembuangan undi bagi melancarkan urusan pengundian.

Katanya, ia bagi mengelakkan pengundi hantu menggunakan nombor kad pengenalan yang berdaftar sebagai pengundi sah.

"Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak melupakan kad pengenalan dan menjaga kesihatan diri," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619