SUKANKINI

Zaqhwan fokus ARRC di India

1 Ogos 2018, 2:17 AM
Zaqhwan fokus ARRC di India
Zaqhwan fokus ARRC di India

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi kini fokus mengharungi saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), di Litar Lumba Motor Madras, India, hujung minggu ini.

Beliau yang baharu sahaja selesai menyertai saingan berprestij Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour di Suzuka, Jepun, minggu lalu tidak menganggap ia sebagai beban apabila perlu terus bertandang ke India untuk saingan ARRC.

Pelumba yang membawa cabaran Honda Asia Dream Racing di Kejuaraan Suzuka 8-Hour itu berjaya menamatkan saingan di tangga ketujuh bersama rakan sepasukan, Troy Herfoss (Australia) dan Andi Farid Izdihar (Indonesia), satu tangga lebih baik berbanding keputusan diraih, pada musim lalu.

Berpuas hati dengan pencapaian itu, Zaqhwan, 23, berkata, tumpuannya kini terarah mempertahankan kemenangan diraih di India dalam saingan SuperSports 600cc musim lalu.

"Hampir dua bulan kami melakukan persediaan rapi untuk menghadapi perlumbaan Suzuka 8-Hour menggunakan jentera 1000cc, berbeza dengan jentera 600cc ARRC.

"Walaupun masih penat kerana baru selesai perlumbaan Endurance, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik di ARRC," katanya.

Beliau berkata, misinya adalah kembali ke podium ARRC setelah berjaya muncul juara dalam Perlumbaan pertama dan kedua, pada tahun lalu.

Pada masa sama, beliau berharap dapat meraih podium pertama untuk musim ini selain membantu Musashi Boon Siew Honda Racing memperbaiki pungutan mata berpasukan.

"Perlumbaan di Suzuka 8-Hour tahun ini lebih sukar ekoran faktor cuaca tidak menentu dan kami bergelut dengan beberapa masalah pada peringkat awal, namun dapat menanganinya sehingga penghujung perlumbaan dan gembira dapat memperbaiki pencapaian musim lalu," katanya.

Zaqhwan kini menduduki tangga ke-10 SuperSports 600cc dan masih memburu podium pertama, musim ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619