GLOBAL

Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia masih terperangkap di Gunung Rinjani

30 Jul 2018, 8:10 AM
Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia masih terperangkap di Gunung Rinjani

JAKARTA 30 JUL: Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia dilaporkan masih terperangkap di gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan pasukan penyelamat kini berusaha melakukan evakuasi mengeluarkan semua pendaki terbabit dari gunung itu.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, berdasarkan data pihak berkuasa Indonesia, seramai 524 pendaki iaitu 358 daripadanya warga negara luar dan 166 warga Indonesia masih terperangkap di gunung itu selepas kejadian gempa bumi semalam.

"Proses evakuasi mengalami sedikit kesulitan kerana berlaku runtuhan tanah di akses jalan utama ke gunung itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, operasi untuk mengeluarkan semua pendaki itu disertai pasukan tentera Indonesia, polis dan pasukan perubatan.

Dalam kejadian gempa berkekuatan 6.4 Skala Richter di Lombok, Nusa Tenggara Barat Indonesia semalam itu, seramai 14 mangsa dilaporkan terkorban setakat ini, termasuk seorang warga negara Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.

Gunung berapi Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian 3,726 meter merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong dan pendaki yang terkenal dengan keindahan semulajadinya.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan. Setakat ini lebih 1,000 rumah dan bangunan dilaporkan musnah.

Sutopo Purwo berkata, beberapa jaringan telekomunikasi seperti Indosat dan H3I tidak dapat digunakan di kawasan itu ketika ini berikutan terputusnya bekalan elektrik.

"Pasukan evakuasi memulakan proses menyelamat bermula jam 8 pagi ini," katanya.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619