NASIONAL

Kerajaan pandang serius masalah penyakit mental

23 Jun 2018, 1:25 PM
Kerajaan pandang serius masalah penyakit mental

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memandang serius dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masalah terbabit perlu diketengahkan dan perlu diatasi segera.

"Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baharu kita nak bertindak.

"Kita perlu mengatasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes seorang ibu yang mengelar leher anak bongsunya berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran minggu lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya, terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 manakala sebanyak 5,422 kes dilaporkan pada tahun lalu.

"Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungjawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa," katanya.

=EZY=

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619