NASIONAL

Tun M: Terlalu banyak penyelewengan dalam 1MDB

16 Mei 2018, 10:00 AM
Tun M: Terlalu banyak penyelewengan dalam 1MDB
Tun M: Terlalu banyak penyelewengan dalam 1MDB
Tun M: Terlalu banyak penyelewengan dalam 1MDB

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan terlalu banyak kesalahan dan penyelewengan berlaku dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) selama ini.

Tun Dr Mahathir berkata, selepas membaca laporan pengauditan yang sudah dikelaskan sebagai dokumen terbuka beliau turut mendapat taklimat daripada pihak polis mengenai skandal berkenaan.

"Kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis, apabila sampai tahap kita boleh membuat tangkapan, kita akan tangkap mereka bersalah.

"Tiada beza antara orang tertentu (pangkat dan kedudukan) untuk didakwa,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam kenyataan semalam berkata, laporan pengauditan 1MDB yang pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir berkata, adalah penting bagi kerajaan membawa pulang wang berkaitan 1MDB yang berada di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

"Sebab itu kita hubungi negara-negara terbabit untuk dapatkan semula duit yang ada pada mereka.

"Kita buat kenyataan bahawa wang itu milik Malaysia dan 1MDB, dan kita akan pohon wang itu dikembalikan.

"Jumlahnya agak besar dan ini akan menolong kita dalam menyelesaikan pelbagai jenis hutang,” katanya.

Beliau berkata, jumlah sebenar keseluruhan wang berkenaan di luar negara masih belum diketahui, tetapi di Amerika Syarikat sahaja memiliki jumlah terbesar iaitu AS$4.5 bilion (RM18.83 bilion).

Sementara itu, Mahathir berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Malah, Mahathir berkata, sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah beliau tetap akan dikenakan tindakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619