AGAMA

Masjid dan surau Selangor dilarang lantik imam Tarawikh negara luar

15 Mei 2018, 6:45 AM
Masjid dan surau Selangor dilarang lantik imam Tarawikh negara luar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang semua masjid dan surau di Selangor melantik imam Tarawikh dari negara luar.

Pengarah JAIS, Dato' Haris Kasim berkata, larangan itu selaras dengan undang-undang dan pekeliling dikeluarkan jabatan itu kepada semua pegawai dan anggota jawatankuasa masjid serta surau di seluruh negeri itu.

"Saya menyeru tuan semua mematuhi pekeliling sempena Ramadan yang telah diedarkan kepada masjid dan surau di Selangor pada hari ini.

"Semua masjid dan surau dilarang berbuat demikian dan digalakkan melantik imam Tarawikh dari kalangan pelajar atau lulusan tahfiz dalam negara," katanya dalam Program Menyemarak Ramadan Bersama Kepimpinan Masjid dan Surau Selangor 2018 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz (MSSAA) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, masjid dan surau juga diminta melaksanakan solat Tarawikh 20 rakaat sebagaimana diamalkan Saidina Umar R.A di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Katanya, JAIS juga menetapkan tazkirah atau ceramah dibuat selepas selesai solat Tarawikh dan Witir dalam tempoh tidak melebihi 20 minit.

"Isi tazkirah tidak dibenarkan menyentuh isu sensitif yang menyinggung pihak tertentu serta dijadikan ceramah politik yang menimbulkan rasa tidak senang serta perpecahan masyarakat.

"Semua pentazkirah dipanggil atau dijemput hendaklah mempunyai tauliah berceramah dikeluarkan JAIS," katanya.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619