NASIONAL

Netizen kecam tindakan SPR potong gambar Tun M

30 Apr 2018, 9:26 AM
Netizen kecam tindakan SPR potong gambar Tun M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad, pada poster kempen calon Pakatan Harapan (PAKATAN) mengundang kecaman netizen yang menyifatkannya usaha terdesak Barisan Nasional (BN).

Rata-rata komen dilontar mereka menggambarkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan dilakukan penguatkuasa SPR memotong gambar Pengerusi PAKATAN itu.

"Mungkin mereka boleh potong gambar Tun M tetapi mereka tidak akan boleh memadam Tun M yang ada dalam hati rakyat yang sayangkan negara," kata Abdul Samad dalam laman Facebook sebuah portal media.

Richard Sutha pula menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggapnya takut berdepan cabaran mantan Perdana Menteri itu yang kini semakin mendapat tempat dan disokong rakyat.

"Kata Tun M dah tua, dah tak popular, apa pasal kecut dengan gambar dia....? ," soalnya.

Malah netizen menyifatkan tindakan dilakukan SPR itu akan menambah lagi kebencian rakyat kepada BN menjelang hari pengundian pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14), 9 Mei nanti.

"Bila dah goyang dengan bayang-bayang pun boleh takut. Ayuh 9 Mei kasi tukar BN jadi pembangkang negara pulak," kata Nasarudin Abu Omar.

Najib, kata Doovey Charlie Chin, kini ketakutan melihat kebangkitan rakyat untuk menolak BN dalam PRU nanti.

"Terbukti Najib dalam ketakutan. Tsunami rakyat Malaysia akan kuburkan BN diketuai Tun M, gelombang kuat rakyat akan muncul," coretnya.

Dilaporkan gambar Dr Mahathir dipotong penguatkuasa SPR di kawasan Parlimen Ayer Hitam, Johor selain gambarnya bersama Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama calon PAKATAN Negeri Sembilan diturunkan di negeri itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619