NASIONAL

Tun Hasmah terharu sokongan rakyat pada PAKATAN

20 Apr 2018, 8:11 AM
Tun Hasmah terharu sokongan rakyat pada PAKATAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 20 APR: Rakyat terus menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) walaupun tiada wang mahupun makanan percuma diberikan sepanjang siri jelajah PAKATAN di seluruh negara.

Isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, kegigihan berkenaan dilihat ketika beliau menyertai jelajah PAKATAN di Pagoh, Pasir Gudang, Muar dan Kedah.

"Sokongan rakyat amat kuat, tidak kira hujan ataupun panas, penduduk tempatan mahupun orang luar tetap menanti kehadiran pemimpin PAKATAN serta menunggu ceramah hingga habis.

"Hakikatnya, saya tahu tiada elaun pengangkutan seperti bas, tiada makanan percuma diberikan, saya amat terharu dengan sokongan mereka, dari situlah semangat kami datang dan saya amat memahami bahawa rakyat mahu ubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU14) nanti," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi tadi.

Siti Hasmah turut berkongsi mengenai penjagaan beliau dan suami sepanjang tempoh berkempen menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, beliau dan Tun Mahathir perlu mendapatkan rehat yang cukup kerana faktor usia yang semakin meningkat.

"Saya pernah bertanya kepada Tun, adakah dia baik-baik sahaja sekiranya kembali mentadbir negara, jawapan Tun mudah, itu adalah tugasnya kepada rakyat.

"Prinsipnya itu saya sokong, jadi saya perlu memastikan program Tun tidak terlalu padat dan apa yang penting ahli politik perlu rehat secukupnya sebelum program pada keesokan hari.

"Kami bukan muda lagi jadi perlu memilih program untuk dihadiri, umur saya pun sudah mencecah 92 tahun dan Tun pula 93 tahun," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619