SELANGOR

Selangor ungguli Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam

16 Apr 2018, 1:48 AM
Selangor ungguli Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam
Selangor ungguli Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APR: Pasukan Bola Tampar Lelaki Selangor mendominasi kemenangan pada Kejohanan Bola Tampar Terbuka Malaysia, dalam perebutan Piala Datuk Bandar Shah Alam.

Kejohanan yang berlangsung di Dewan Bola Tampar MBSA itu menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan Selangor dan Perak pada perlawanan peringkat akhir.

Ketua Jurulatih Selangor, Shamsaimom Sharif, menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian ditunjukkan pasukan di bawah bimbingannya itu.

Katanya, memandangkan Selangor menjadi tuan rumah untuk kejohanan kali ini, maka sudah menjadi tanggungjawab besar dipikul bagi memastikan aksi pemain berada di tahap terbaik.

"Tambahan pula, sudah empat tahun kita tidak berpeluang menghantar pasukan Selangor ke Kejohanan Terbuka Malaysia, jadi peluang ini diguna sebaik mungkin untuk mencari pelapis muda.

"Tempoh dua bulan diambil sebagai persediaan pemain sebelum beraksi pada kejohanan ini, dan kita membuat pemantauan sepenuhnya terhadap proses latihan mereka.

"Justeru, menerusi pencapaian hebat ini, pemain telah membuktikan kebolehan dengan menampilkan persembahan di gelanggang perlawanan, sekali gus dinonatkan sebagai johan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah, Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Shamsaimon berkata, Liga Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) optimis untuk terus meningkatkan mutu kualiti bola tampar negara melalui penambahan pemain untuk satu pasukan.

"Sebelum ini hanya terdiri daripada 10 pemain sahaja, tetapi Liga MAVA akan buka enam kekosongan lagi untuk mengetengahkan pelapis sukan bola tampar.

"Selain mengekalkan barisan pemain sedia ada, kita akan memperkuatkan asas latihan untuk mereka," katanya.

Terdahulu, pasukan bola tampar lelaki Selangor memperoleh hadiah kemenangan wang tunai RM10,000, medal berserta piala iringan.

Sementara itu, keputusan lain bagi kategori lelaki menyaksikan, Perak menyandang Naib Johan dan Sarawak di tempat ketiga.

Manakala, bagi kategori wanita, Johan diungguli pasukan Negeri Sembilan, Sarawak di tempat kedua dan Selangor di tempat ketiga.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619