NASIONAL

EAIC siasat berasingan kes tahanan mati

2 Apr 2018, 5:02 AM
EAIC siasat berasingan kes tahanan mati

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 2 APR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes seorang tahanan mati dalam lokap, di Balai Polis Selama, Perak, pada 17 Mac lalu.

Pengerusinya, Datuk A Aziz A Rahim berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan dan ia akan diumumkan selepas segalanya selesai.

"EAIC menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes ini dan bukan seperti dinyatakan Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay kepada media.

"Jika terdapat syor berkaitan, ia akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa tata tertib, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia untuk penambahbaikan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Lian Lay disiarkan media, pada 25 Mac lalu.

Katanya, EAIC ingin menegaskan setiap siasatan dijalankan suruhanjaya itu bebas, telus dan profesional berdasarkan kuasa penyiasatan diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

"EAIC sentiasa menjaga tahap kebebasan dan ketelusan dalam membuat siasatan khususnya dalam menyiasat sesebuah agensi di bawah pengawasannya," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619