SELANGOR

Kembara sambil beramal pupuk semangat bekerjasama

22 Mac 2018, 6:35 AM
Kembara sambil beramal pupuk semangat bekerjasama
Kembara sambil beramal pupuk semangat bekerjasama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Seramai 34 pegawai dan kakitangan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) serta Kelab Pembangunan Kecemerlangan Jabatan (KPKJ) menyertai program Kembara Amal ke Sungai Klah, Sungkai Perak, hari ini.

Pengerusi AKRAB, Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkata, program julung kali diadakan itu adalah inisiatif bersama pihak berkenaan bagi memupuk semangat kerjasama dalam menjaga keselamatan ahli kembara selain memperkukuhkan ukhwah pengurusan di pelbagai peringkat lapisan kerja.

Katanya, ia dilihat sebagai satu inisiatif yang amat baik bagi menyuntik semangat baru kepada peserta memandangkan kembara amal dijalankan kali ini melibatkan program di luar jabatan, dan sekali gus memberi ruang menimba pengalaman baru.

"Pengisian program selama sehari ini akan melibatkan kegiatan tanggungjawab sosial korporat yang mana mereka akan bersama-sama turun bergotong-royong membantu melaksanakan program khidmat kemasyarakatan.

"Disamping itu, mereka turut jalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar Masjid Jamek Felda Sungkai dan mengenali lebih rapat dengan komuniti di sana," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Program Kembara Amal ke Sungai Klah, di Perkarangan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, Nenney berkata, pelaksanaan program juga memberi peluang kepada peserta untuk memperbaiki ibadat solat supaya lebih teratur dan sempurna menerusi program solat tahsin.

"Kesempatan ini harus direbut peserta yang tidak berkesempatan menyertai program solat tahsin yang dianjurkan sebelum ini.

"Justeru, kita optimis dalam memastikan penganjuran sulung ini berhasil selari dengan hasrat untuk mempromosikan jabatan sebagai sebuah Institusi Kehakiman Syariah yang berdiri teguh di Selangor.

"Kita berharap dengan aktiviti sedemikian membolehkan imej dan reputasi jabatan kehakiman terus dipertingkatkan serta menguar-uarkan kepada masyarakat luar tentang kepelbagaian fungsi yang kita jalankan," katanya.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619