SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia catat sejarah benam juara Olimpik

7 Mac 2018, 1:40 AM
Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia catat sejarah benam juara Olimpik

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 7 MAC: Malaysia mengejutkan juara Olimpik, Argentina dengan kemenangan 2 - 1 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di sini, semalam.

Dalam perlawanan ketiga di Stadium Azlan Shah itu, Malaysia melakukan kebangkitan selepas kekalahan di tangan Australia serta mencerahkan laluan ke perlawanan akhir seandainya mencatat kemenangan ke atas India dan England.

Biarpun dicabar hebat pasukan lawan, skuad kendalian Stephen Van Huizen menggunakan sebaiknya peluang diperoleh dan berjaya menjaringkan gol pertama dalam suku kedua melalui Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-19.

Malaysia mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua apabila Najmi Farizal Jazlan (m28) mendapat hantaran dan menguis bola masuk di depan pintu gol Argentina.

Argentina memperoleh pukulan penalti pada saat akhir suku kedua bagi mendapatkan gol namun percubaan Pedro Ibbara berjaya diselamatkan Hafizuddin Othman.

Bagaimanapun Diego Paz berjaya menjaringkan gol tunggal untuk Argentina selepas dua minit perlawanan suku ketiga bermula.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dengan kemenangan memihak Malaysia.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia dan Argentina berkongsi enam mata tetapi The Speedy Tigers di tangga kedua di belakang Australia (sembilan) dengan kelebihan jaringan.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619