SELANGOR

Tangguh penyelesaian air, Persekutuan ada masalah kewangan?

6 Mac 2018, 8:22 AM
Tangguh penyelesaian air, Persekutuan ada masalah kewangan?
Tangguh penyelesaian air, Persekutuan ada masalah kewangan?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Negeri membidas Barisan Nasional yang cuba bermain politik apabila mengaitkan kerja penyelenggaraan, di Loji Rawatan Air SSP3 dengan pelan penstrukturan semula industri air Selangor, sedangkan Kabinet sendiri menangguhkan penyelesaiannya ke hujung 2018.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, penangguhan itu menimbulkan persoalan sama ada ingin membuat pengguna menderita dan memalukan Kerajaan Negeri menjelang pilihan raya umum atau petanda Kerajaan Persekutuan mempunyai masalah kewangan.

"Laporan terbaru The Straits Times, pada 16 Februari lalu mendedahkan jumlah faedah hutang yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan mencecah RM31 bilion, menyamai kutipan cukai pendapatan atau dua pertiga kutipan GST.

"Lebih dua kali ganda jumlah berkenaan sudah dibayar, pada 2009 dan Kerajaan Persekutuan kini mengambil alih hutang 1MDB kira-kira RM42 bilion.

"Adakah Putrajaya tidak cukup wang bagi melaksanakan dasar air kebangsaan dan menyelesaikan penstrukturan air? Putrajaya perlu menjawabnya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan mempunyai dua penilaian bebas dan hanya perlu memilih salah satu harga serta membayar kos pengambilalihan aset air berkenaan kerana ia tanggungjawab yang tidak boleh dielakkan sama sekali.

Shao Loong berkata, jika Kerajaan Persekutuan membantu Selangor, mereka juga akan membantu Wilayah Persekutuan kerana sejak dahulu, Selangor membekalkan air untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, Kerajaan Negeri bertindak atas kepercayaan rakyat berpandukan dasar hasil negeri dikembalikan kepada rakyat dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

"Drama terbaru Kerajaan Persekutuan berhubung isu air ialah cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mahu mengalirkan air dari Putrajaya ke Kuala Lumpur untuk pembekalan, atas alasan tidak boleh bergantung harap dengan Selangor.

"Jika Kerajaan Persekutuan menyokong cadangan Tengku Adnan yang bermotifkan politik, maka jelas penangguhan pembiayaan penstrukturan air Selangor adalah sebab politik dan mahu menganaktirikan Selangor dan pengguna.

"Jika Persekutuan tidak membiayai penstrukturan air Selangor atau cadangan Tengku Adnan, maka ia bermakna Persekutuan berhadapan masalah kewangan meruncing. Kerajaan Persekutuan perlu telus berhubung penangguhan penyelesaian penstrukturan semula," katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619