SELANGOR

Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MACMA meriah

5 Mac 2018, 2:18 AM
Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MACMA meriah
Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MACMA meriah

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 5 MAC: Seramai 600 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina 2018 anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Selangor.

Presidennya, Syafiq Raffiqin Liow berkata, jumlah berkenaan menunjukkan program itu mendapat sambutan memberangsangkan.

"Pada awalnya kami menjangkakan seramai 500 sahaja akan hadir pada program ini namun tidak sangka ramai hadir meluangkan masa.

"Dalam program ini, kami juga menyediakan kaunter maklumat, pertunjukan budaya masyarakat Cina dan jamuan makan," katanya selepas menghadiri sambutan perayaan itu di Surau Saujana Impian, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Langat (Orang Besar Daerah), Datuk Engku Abdul Jalil Abdul Rani.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Ahli Dewan Negeri Kajang (ADN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa sama, Syafiq berkata, tujuan program diadakan untuk mengeratkan hubungan pelbagai kaum dan agama dalam sambutan perayaan.

"Pihak kami sentiasa mengadakan program seumpama ini, namun sambutan pada kali ini adalah dalam skala besar.

"Di samping itu, kita juga menjemput dan membawa komuniti Cina bukan muslim meninjau surau bagi melihat sendiri adab dan budaya agama Islam," katanya sambil menambah ia adalah salah satu cara berdakwah yang berkesan.

Sambutan itu bertemakan 'Menuju Ke Arah Komuniti Harmoni', anjuran bersama JAIS, Majlis Agama Islam Selangor dan Team Selangor.

Ia mendapat kerjasama badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Unity dan Hidayah Centre Foundation.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619