AGAMA

Puncak Niaga sertai Kasihku Zakat Selangor

28 Feb 2018, 5:33 AM
Puncak Niaga sertai Kasihku Zakat Selangor
Puncak Niaga sertai Kasihku Zakat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 FEB: Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menghulurkan RM1.3 juta bagi membantu asnaf, di bawah program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan PNHB, Dato’ Nasir Khan Illadad Khan berkata, ia digunakan bagi membina 10 rumah asnaf bernilai RM500,000, dengan tambahan RM100,000 daripada LZS.

Katanya, rumah yang dibina sekitar daerah Kuala Selangor itu dilengkap tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

"Selain itu, RM500,000 diperuntukkan untuk bantuan perubatan dialisis 21 pesakit dalam kalangan asnaf bagi menampung kos rawatan setahun.

"Baki RM300,000 lagi diperuntukkan bagi asnaf fisabilillah (pendidikan) yang diagihkan kepada 1,000 pelajar fakir miskin dalam bentuk wang saku RM300 setiap seorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan mewakili Pengerusi Eksekutif PNHB, Tan Sri Rozali, pada Majlis Penyerahan Bantuan Kasihku Zakat Selangor, di Wisma Rozali.

Pada masa sama, Nasir berkata, PNHB turut membayar zakat perniagaan RM10.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Katanya, PNHB turut memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada bayaran zakat dikeluarkan untuk diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

“Daripada permohonan itu, kita menerima pengembalian wang zakat perniagaan RM3.9 juta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid mengucapkan terima kasih atas kesudian PNHB menyertai program Kasihku Zakat Selangor.

“LZS menyempurnakan amanah diberikan PNHB. Sukacita dimaklumkan bagi bantuan rumah, LZS sudah melaksanakan proses lantikan kontraktor.

“Setakat ini, 70 peratus proses pembinaan berjaya disiapkan dengan asnaf terbabit akan menyambut Ramadan dan Syawal di rumah baru nanti,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619