NASIONAL

ABIM kecam diplomat Israel ke negara ini

16 Feb 2018, 9:42 AM
ABIM kecam diplomat Israel ke negara ini
ABIM kecam diplomat Israel ke negara ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan membenarkan kemasukan delegasi diplomat Israel ke negara ini bagi menghadiri program Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9, di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata memberi keizinan kepada delegasi negara terbabit memasuki negara ini, jelas bertentangan dengan dasar pro-Palestin dilaungkan kerajaan Malaysia selama ini.

"ABIM dengan tegas mengecam sikap hipokrasi serta kedangkalan pihak yang membenarkan delegasi dari negara pengganas ini untuk masuk dan bersidang di Malaysia.

"Sekiranya menerima diplomat negara itu dikira sebagai syarat perlu diikuti Putrajaya untuk menganjurkan persidangan maka Malaysia seharusnya menolak daripada menganjurkannya selain mesti memaklumkan masyarakat umum berkenaan kehadiran delegasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia seharusnya menzahirkan komitmen bersungguh dalam menolak sebarang usaha membenarkan mana-mana rakyat Israel bagi menjejakkan kaki ke negara ini.

Katanya, menerima kehadiran rakyat apatah lagi pegawai negara pengganas itu, adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

"ABIM berkongsi rasa kemarahan semua pencinta keamaanan terhadap tindakan mendukacitakan ini.

"Hubungan Malaysia-Israel adalah isu sensitif bagi umat Islam dan rakyat negara ini yang mana Malaysia dan kebanyakan negara Islam lain tidak mengiktiraf Israel juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara haram itu," katanya.

Muhammad Faisal berkata, ABIM terus komited memberikan dokongan kepada aspirasi perjuangan rakyat Palestin sehingga usaha untuk menghentikan keganasan serta mendapatkan kemerdekaan sebenar tercapai.

"ABIM juga menggesa kepada kerajaan Malaysia agar dapat mengambil tanggungjawab di atas apa telah berlaku selain memohon maaf dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak berkaitan," katanya.

Berhubung perkara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya berkata, kerajaan Malaysia tidak mengundang delegasi diplomat Israel ke WUF9 sebaliknya penyertaan mereka adalah berdasarkan jemputan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur forum berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619