NASIONAL

Keputusan Mahkamah Persekutuan laluan mansuh AUKU

15 Feb 2018, 1:59 AM
Keputusan Mahkamah Persekutuan laluan mansuh AUKU

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 FEB: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Universiti Malaya (UM) dalam kes Fahmi Zainol dan empat pelajar lain, Selasa lalu mestilah membuka laluan terhadap pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012.

Pengerusi ISRA Siswa, Muhammad Nurie Al' Amin Mohamad Nasseri, berkata keputusan itu seharusnya menjadi batu loncatan untuk mahasiswa bangun menolak penggunaan AUKU atau sebarang undang-undang zalim mencengkam kebebasan bersuara golongan itu.

Katanya, undang-undang sebegitu membina sindrom ketakutan sehingga membuatkan mahasiswa tidak berani untuk berperanan sebagai jurubicara rakyat.

"Dalam kehangatan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tinggi hasrat mahasiswa untuk melihat perubahan Malaysia dalam menuju negara lebih sejahtera.

"Aktivis mahasiswa konsisten mahukan AUKU dimansuhkan dan tidak sekadar dipinda mengikut kepentingan politik.

"Hanya dengan pemansuhan AUKU, universiti akan bebas daripada pengaruh parti politik dan mahasiswa akan memperolehi kuasa autonomi untuk beraktivisme juga para cendekiawan bebas berakademik," katanya.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak rayuan UM dalam kes membabitkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan lembaga disiplin UM, jawatankuasa rayuan UM dan UM tidak mematuhi prosedur ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah UM Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997 dalam mengenakan hukuman tatatertib ke atas bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol dan empat pelajar lain.

Fahmi dikenakan hukuman gantung pengajian dua semester berserta denda RM600, Safwan digantung pengajian satu semester manakala Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim dikenakan denda ekoran dihukum bersalah kerana menganjurkan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di universiti itu, 27 Oktober 2014.

Dengan itu, Muhammad Nurie Al' Amin berkata, mahasiswa harus berhenti berfikiran tertutup dengan agenda pemansuhan AUKU kerana perjuangan itu untuk menuntut hak mahasiswa dan ahli akademik supaya tidak dicengkam undang-undang zalim.

"Tiada siapa boleh menafikan betapa negara kita hari ini sedang dibelengu masalah urus tadbir meruncing dengan isu rasuah, salah guna kuasa, politik tidak matang dan kotor, penyelewengan dana awam serta pelbagai masalah membimbangkan.

"Mahasiswa perlu yakin bahawa kita adalah kuasa pendesak yang mampu meletakkan negara pada garis urus tadbir dan tata kelola betul dan benar," katanya.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619