SELANGOR

Ziyad atlit paralimpik pertama Asia sumbang pingat Sukan Sea

30 Jan 2018, 1:29 AM
Ziyad atlit paralimpik pertama Asia sumbang pingat Sukan Sea

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JAN: Atlit paralimpik Selangor bagi acara lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli bukan sahaja dua kali memecahkan rekod dunia pada Temasya Sukan Paralimpik di Rio sebelum sekali lagi memecahkan rekod sendiri pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata, malah beliau juga muncul sebagai atlit para pertama di Asia yang berjaya menyumbangkan pingat dalam pertandingan sukan membabitkan bukan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Pada Sukan Sea yang lalu, atlit kita Ziyad Zolkefli menang di peringkat paralimpik peringkat dunia tetapi pada masa sama beliau juga mewakili negara untuk Sea dan berjaya menyumbang pingat gangsa untuk kontinjen nasional.

"Beliau merupakan atlit pertama di kalangan paralimpik yang berjaya menyumbangkan pingat kepada kontinjen nasional dalam mana-mana negara khususnya di negara Asia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Kepada Atlit Selangor Ke Kejohanan Sukan Para Asean Ke-9 Kuala Lumpur 2017 lalu di Hotel De Palma Seksyen 19, di sini, hari ini.

Katanya, pencapaian Ziyad itu membuktikan golongan OKU juga menguasai acara sukan yang disertai bukan OKU.

Ketika menyentuh isu pembangunan sukan di Selangor, Amirudin berkata, kejayaan negeri itu bukan diukur dengan pencapaian ekonomi semata-mata.

"Selangor sering digambarkan sebagai negeri paling maju dengan ekonomi kita mencatatkan pertumbuhan sangat baik, membawa pelaburan sangat tinggi dan pada masa sama Jabatan Perangkaan mencatatkan Selangor menyumbang 23 peratus kepada pertumbuhan KDNK negara.

"Namun kejayaan, kemakmuran dan kegemilangan Selangor tidak hanya tidak hanya dapat diukur melalui pencapaian ekonomi tetapi Selangor di bawah kepimpinan Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali sentiasa memikirkan agar kita sentiasa ada program seimbang supaya kita mampu mengetengahkan semua warga kita dalam pelbagai bidang dan aspek termasuk sukan," katanya.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619