SELANGOR

Notis kedua SPR masih gagal kurang jurang pengundi

16 Jan 2018, 8:05 AM
Notis kedua SPR masih gagal kurang jurang pengundi
Notis kedua SPR masih gagal kurang jurang pengundi

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengurangkan jurang perbezaan jumlah pengundi di kawasan Parlimen dan DUN dalam notis keduanya berhubung pelaksanaan persempadanan semula Selangor yang dikeluarkan semalam.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, SPR juga gagal mengurangkan jurang angka pengundi antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kerusi di kawasan sama.

"Contohnya, kerusi Parlimen Kapar yang mempunyai 146,317 pengundi, hampir empat kali ganda lebih ramai berbanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam (37,126).

"Begitu jumlah pengundi di Seri Serdang dan Kinrara dalam Syor 2 ialah masing-masing 74,563 dan 34,910, kedua-duanya di bawah kerusi bandar untuk Parlimen Puchong dan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Hakikatnya, Seri Serdang mempunyai dua kali jumlah pengundi di Kinrara, walaupun kedua-duanya kerusi bandar dan ia melanggar Seksyen 2(C) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Kian Ming berkata, keadaan sama juga boleh dilihat di kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara di mana dua kerusi DUN di bawahnya iaitu Damansara Utama dan Kampung Tunku, masing-masing 53,440 dan 31,016 pengundi, walaupun kedua-duanya di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, SPR sepatutnya menambah jumlah kerusi DUN dan Parlimen bagi mengurangkan perbezaan jumlah pengundi antara kerusi seperti menurut Seksyen 2(C) Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 2(C) menyatakan jumlah pengundi dalam setiap kawasan di negeri sepatutnya hampir sama, dengan beberapa langkah diambil untuk penyesuaian kawasan bandar dan luar bandar," katanya.

Sehubungan itu, Kian Ming turut mengesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab memastikan Selangor membuat pindaan untuk memenuhi peningkatan jumlah kerusi, selain mendapatkan sokongan dalam Parlimen bagi pindaan itu dilaksanakan.

“Perdana menteri perlu meyakinkan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan persempadanan semula perlu disokong, bagi membolehkan pindaan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan dan menambah jumlah kerusi Parlimen.

“Perdana menteri juga perlu bekerjasama dan mendapatkan persetujuan Selangor untuk menambah jumlah kerusi DUN," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619